TSG sedia bawa cabaran Terengganu

UTUSAN MALAYSIA > Januari 20,2011

KUALA TERENGGANU – Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang membawa imej negeri sebagai kuasa baru sukan berbasikal tanah air dilepaskan semalam untuk menghadapi cabaran sulung Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.

Ahmad Said mengangkat basikal sambil diperhatikan para pelumba pasukan TSG yang akan menyertai LTdL 2011 pada majlis pelepasan pasukan itu Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Selain diiringi doa pada majlis itu, mereka dijanjikan ganjaran lumayan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa setiap pelumba yang memenangi satu peringkat perlumbaan akan menerima RM5,000.

Malah, nilai ganjaran akan terus digandakan jika pelumba yang sama mampu memenangi lebih daripada satu peringkat perlumbaan pada kejohanan berstatus 2HC dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

“Ini adalah penampilan pertama TSG pada kejohanan berprestij LTdL dan ia satu kebanggaan khususnya kepada rakyat negeri ini.

“Jadi, kita sudah putuskan bahawa mana-mana pelumba yang memenangi satu peringkat perlumbaan akan menerima wang tunai RM5,000.

“Jika pelumba yang sama memenangi lagi peringkat lain, maka dia akan menerima RM10,000 untuk kemenangan itu,” katanya pada Majlis Pelepasan Pasukan TSG ke Kejohanan LTdL 2011 di Wisma Darul Iman, di sini.

Pada majlis itu, TSG turut menerima tajaan RM300,000 daripada Syarikat Epic Berhad.

Kejohanan LTdL yang akan bermula pada 23 Januari ini, akan melalui 10 peringkat perlumbaan bermula di Dataran Helang menuju ke Pekan Kuah, Langkawi.

Kejohanan selama 10 hari itu menampilkan 22 pasukan termasuk dua pasukan benua dari Malaysia iaitu TSG dan Le Tour Cycling Team serta satu pasukan kebangsaan.

TSG yang ditubuhkan penghujung tahun lalu hasil ilham Ahmad sendiri, akan mempertaruhkan enam pelumba terbaik termasuk penyandang gelaran Raja Pecut (Jersi Hijau), Anuar Manan.

Lima lagi pelumba ialah Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohammad Saufi Mat Senan, Mohd. Harrif Salleh dan dua pelumba luar negara, Shinichi Fukushima dari Jepun serta Phucong Sai-Udomsin dari Thailand.

“Kita telah mengatur pelbagai kejohanan untuk pasukan ini dan saya berharap para pelumba TSG mampu memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan LTdL berlangsung.

“Saya juga tidak mahu terlalu angkuh dengan kekuatan pasukan TSG, tetapi jika berjaya menduduki kedudukan 10 terbaik, maka ia adalah satu bonus buat kita,” tambahnya.

Malah, Ahmad turut menyatakan sokongannya dan berharap pasukan ini akan terus mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat luar.

Katanya, untuk tahun ini sahaja kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk pasukan itu meliputi pengurusan dan hal ehwal pertandingan.

Selain kerajaan negeri dan syarikat Epic, turut menaja, sementara Pro Asia Sport Management sebanyak RM610,000 merangkumi peralatan basikal, alat ganti, jersi dan makanan tambahan.

~ by missjewelz on January 20, 2011.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: