Silat Tidak Mahu Dibuai Mimpi

UTUSAN MALAYSIA>3/12/2009

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Jika dilihat pencapaian pasukan silat negara dalam empat pertandingan antarabangsa yang disertai sepanjang tahun ini, skuad tersebut dilihat mampu meraih lebih banyak kilauan emas daripada apa yang disasarkan di Sukan SEA Laos, Disember ini.

Meskipun begitu, semua pencapaian baik itu tidak mahu dijadikan sebagai sandaran terbaik dan membuatkan pasukan tersebut terleka dalam mengejar kejayaan.

Bagi Osman Nok yang merupakan pengurus pasukan silat negara, dia tidak mahu pasukan kendaliannya itu dibuai mimpi indah dengan kejayaan dicapai tahun ini.

Katanya, perkara tersebut boleh menjadi penghalang dan merencatkan persiapan pasukan silat negara pada kejohanan tersebut.

Menurutnya, pasukan silat negara sememangnya berkebolehan untuk mencapai lebih daripada dua pingat emas, melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia.

Jelasnya, pasukan negara yang bakal beraksi di Laos telah berjaya meraih empat atau lima emas di setiap kejohanan silat bertaraf antarabangsa yang disertai sepanjang tahun ini.

“Ketika di kejohanan Silat Terbuka Paris, pasukan negara memperoleh lima emas dan pencapaian sama juga diperoleh di Kejohanan Silat ASEAN di Terengganu.

“Menerusi dua lagi pertandingan di Bangkok, Thailand dan Hanoi, Vietnam, pasukan ini sekali lagi membuktikan kehebatan apabila merangkul empat emas di setiap kejohanan tersebut.

“Meskipun mencatat keputusan yang memberangsangkan, persatuan mahu bersikap realistik dan pada masa yang sama, kami juga tidak mahu memberi tekanan kepada pesilat bagi menghadapi persaingan di Laos nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Osman berkata, pihaknya tidak mahu bersifat terlalu yakin, meskipun mereka tahu pasukan sedia ada ini boleh melakar kejutan di Laos nanti.

Jelasnya, banyak perkara boleh menghalang keyakinan tersebut dan antaranya ialah mutu pengadilan pada hari pertandingan.

Katanya, jika mutu pengadilan teruk seperti yang telah terjadi di Sukan SEA Korat, ia bakal memusnahkan hasrat Malaysia membawa pulang pingat emas.

Menurutnya, ekoran tahap pengadilan yang teruk di Thailand, pasukan silat negara sekadar membawa pulang satu pingat perak, meskipun pada hakikatnya ia harus menjadi lebih baik daripada itu.

Ditanya mengenai bilangan acara yang bakal disertai pasukan negara, beliau berkata: “Pasukan negara mengambil bahagian dalam 12 acara daripada 17 acara dipertandingkan. Ia melibatkan 10 acara silat olahraga dan dua acara silat seni.

“Keupayaan memperoleh emas diletakkan di bahu pesilat lelaki dan perempuan. Saya melihat kedua-dua kategori itu mampu menyumbangkan pingat emas,” katanya.

Berhubung negara manakah yang bakal memberi cabaran sengit kepada skuad negara, beliau berkata, ia mungkin datang dari pasukan Vietnam dan Indonesia.

Jelasnya, berdasarkan penelitian selama setahun ini, kedua-dua negara tersebut mempunyai kelebihan masing-masing.

Meskipun begitu katanya, skuad negara masih mempunyai harapan kerana setiap pertandingan adalah mengikut kategori.

Sehubungan itu katanya, peluang memperoleh kilauan emas adalah seimbang buat semua negara yang bertanding.

Katanya, persiapan pasukan telah bermula sejak awal Januari tahun ini dan ia melibatkan sesi latihan serta pembentukan pasukan.

Jelasnya, persiapan menghadapi Sukan SEA kali ini adalah lebih rapi kerana pasukan diberi pendedahan yang lebih di peringkat antarabangsa.

~ by missjewelz on December 3, 2009.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: