Jasmi cari penaja ke Hawaii

Utusan Online>13/2/2008

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

BUAT masa ini, tiada apa yang boleh menggembirakan dan membanggakan Sarjan Jasmi Sarael selain ke Kona, Hawaii, pada Oktober depan.

Namun, keinginannya itu bukan bertujuan untuk bercuti menikmati keindahan pulau tersebut, tetapi berpaksi kepada hasratnya untuk mewakili negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pertandingan triatlon Ironman di sana nanti.

Dengan catatan masa terbaiknya pada pertandingan Ironman Langkawi 2003 iaitu 10:40:09, atlet triatlon dari Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja Kem Syed Sirajuddin, Negeri Sembilan itu telah terpilih mewakili Malaysia buat pertama kalinya ke Kona pada tahun tersebut.

Namun, kerana kekurangan penaja serta sokongan daripada agensi, hasrat Jasmi untuk ke pertandingan berprestij di Amerika Syarikat pada tahun itu berkubur.

Pada tahun 2004 sekali lagi di Ironman Langkawi, bapa kepada tiga orang anak ini mencatatkan masa 10:38:35, sekali gus melayakkannya ke acara tahunan di Hawaii itu buat kali keduanya.

Namun, dengan wang gajinya sendiri kerana ketiadaan penaja, hasrat beliau untuk mengharumkan nama Malaysia dan ATM sekali lagi terencat kerana masalah kekurangan duit.

Angan-angan

Lebih memeritkan, beliau turut layak ke Kona pada 2006 dan 2007 kedua-duanya dengan catatan masa kurang daripada 11 jam tetapi jelas sekali kerana kurangnya perhatian daripada pihak penaja dan agensi sukan bertanggungjawab, cita-citanya selama ini kekal sebagai ‘angan-angan’.

“Saya amat berharap untuk mewakili Malaysia dan ATM di peringkat antarabangsa supaya dapat mengenengahkan negara di persada antarabangsa.

“Selain itu, saya juga rasa sedih kerana walaupun Malaysia layak selepas saya berusaha bersungguh-sungguh, hasrat untuk ke sana berkubur kerana masalah kewangan,’’ keluhnya ketika ditemui MEGA baru-baru ini.

Pertandingan triatlon yang menggunakan nama Ironman yang berlesen itu berlangsung di 23 lokasi berbeza yang telah ditetapkan di seluruh dunia.

Sementara itu, Kona merupakan lokasi ke-23 (terakhir) bagi kesemua pertandingan menggunakan nama Ironman yang berasal dari Amerika Syarikat itu untuk setiap tahun.

Istimewanya, Grand Prix di Kona, tidak menerima penyertaan daripada mana-mana individu sewenang-wenangnya yang hanya mengisi borang serta membayar yuran penyertaan.

Tidak seperti 22 siri Ironman yang lain, peserta yang akan ke Hawaii setiap tahun itu hanya dipilih daripada kalangan mereka yang terbaik daripada 22 pertandingan awal Ironman.

Justeru, dengan berkumpulnya atlet-atlet terbaik dari seluruh dunia melalui 22 Ironman terdahulu pada sesuatu tahun, acara di Kona merupakan kemuncak serta penutup tirai sekali gus menjadikan ia lokasi tumpuan paling elit bagi siri pertandingan triatlon itu.

Jelas sekali jika Jasmi mempunyai peluang untuk bertanding bersama-sama jagoan dari seluruh dunia di Kona nanti, pengalaman itu bakal mematangkannya dalam sukan berkenaan.

Pengalaman tersebut bukan sahaja bakal membawa kebaikan kepada anggota tentera dari Sabah ini, malahan ATM dan negara juga secara amnya bakal mendapat manfaatnya.

Kesempatan menghantar seorang wakil negara ke acara itu semestinya akan membantu menaikkan populariti sukan tersebut di kalangan masyarakat Malaysia.

Namun, untuk ke Kona, Jasmi terlebih dahulu perlu beraksi cemerlang pada Ironman Lankawi 2008 yang bakal berlangsung 23 Februari ini.

Sungguhpun beliau pernah layak sebanyak empat kali sebelum ini, ia tidak memberi apa-apa makna kepada kelayakannya tahun ini kerana keputusan-keputusan tahun terdahulu tidak diambil kira.

Menyedari hakikat itu, Jasmi terus berlatih dengan gigih bersama Kelab Triatlon Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Sungguhpun tinggal dan berpangkalan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Jasmi tetap akan hadir ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk berkongsi pengalaman dengan ahli-ahli kelab di UPNM itu.

Selain itu, usahanya berlatih bersama pelajar-pelajar UPNM itu adalah kerana dijemput oleh Pengurus dan Penasihat Kelab Triatlon universiti tersebut, Mejar Kalam Pie (Tentera Udara Diraja Malaysia) yang juga merupakan rakannya.

Sementara itu, beliau turut berlatih setiap hari mengulangi disiplin berenang, berlari dan berbasikal bagi menyediakannya menghadapi saingan peserta-peserta handalan pada pertandingan triatlon di Langkawi itu nanti.

Usaha murni

Sungguhpun belum pasti layak ke Hawaii pada tahun ini, Jasmi tetap berusaha gigih untuk memastikan harapannya ke Kona pada Oktober nanti tidak terpadam.

Justeru selain latihan fizikal, Jasmi kini giat melobi penaja-penaja dari syarikat swasta melalui misi solonya yang dipanggil ‘Misi Gempur Ironman Langkawi 2008.’

Melalui misi tersebut, ‘orang besi’ ATM ini telah mencetak puluhan kalau tidak ratusan kertas kerja mengenai profilnya serta kekurangannya daripada segi sokongan serta kewangan buat ‘tatapan’ agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta beberapa syarikat swasta.

Untuk ke Kona Hawaii, Jasmi memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 hingga RM30,000 bagi pembiayaan pengangkutan, penginapan, yuran serta pembelian peralatan sukan seperti kasut dan basikal serta barangan kelengkapannya.

“Ia bukan untuk bermegah-megah atau suka-suka, tetapi perkakasan yang lebih baru dan moden terbukti mampu membantu para atlet mencatatkan masa lebih baik,” kata anggota tentera berasal dari Semporna, Sabah ini.

Justeru, atlet ini harus diberikan perhatian sewajarnya oleh Kementerian Belia dan Sukan, ATM serta syarikat-syarikat swasta agar aset negara seperti ini tidak dipersia-siakan.

Apalah nilai RM30,000 berbanding usaha murni seorang wira negara yang berhasrat mengharumkan nama Malaysia dan memperkembangkan sukan triatlon di negara ini.

~ by missjewelz on March 7, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: