Ironman Langkawi 2008 — UPNM persiap jagoan

 Utusan Online>30/1/2008

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

 

ACARA berbasikal pada Pertandingan Ironman Langkawi menguji tahap kesabaran dan ketahanan para peserta kerana melibatkan laluan sejauh 180.2km

  ‘MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya’ mungkin sesuatu yang klise terutama dalam masyarakat negara ini yang berbangsa Melayu.

Sungguhpun demikian, peribahasa yang diwarisi sejak turun-temurun itu telah banyak kali terbukti kebenarannya.

Menyedari ‘kebenaran’ peribahasa tersebut, Pegawai Perhubungan Korporat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mejar Kalam Pie berusaha mendidik sebilangan pelajar pusat pengajian itu dengan ketahanan fizikal dan mental.

Persiapan tersebut adalah bagi menyertai pertandingan triatlon ‘Ironman Langkawi 2008’ yang bakal berlangsung pada 23 Februari depan.

“Biar badan mereka tegap dan tahan segala bentuk cabaran fizikal. Bila badan sudah ‘keras’ dan mental pun kuat, barulah layak dipanggil askar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sesi latihan pasukan tersebut baru-baru ini.

Kalam yang turut bertindak sebagai pengurus dan penasihat Kelab Triatlon universiti tersebut sebenarnya telah memegang jawatan itu sejak UPNM dikenali sebagai Akademi Tentera Malaysia (ATMA) bermula pada 2005.

Pada tahun tersebut, beliau berjaya menghantar seorang pelajar UPNM yang dilatihnya bagi menyertai kejohanan triatlon paling elit di dunia itu.

Tahun berikutnya UPNM menghantar dua orang peserta ke Langkawi dan pada tahun lepas, seramai empat pelajar universiti tersebut bertanding di sana.

Tahun ini pula, Kalam bercadang membawa tujuh peserta dari UPNM termasuk dirinya bagi memperkuatkan pasukan.

Menurutnya, antara kepentingan sukan triatlon ialah ia dapat membina ketahanan fizikal serta mental para peserta.

Bagi sesuatu pertandingan triatlon yang menggunakan nama ‘Ironman’ di seluruh dunia, ia meliputi cabaran berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berlari pada jarak 42.2 km dan berbasikal sepanjang laluan 180.2 km.

Kesemua jarak di atas merupakan ketetapan antarabangsa bagi pertandingan ‘Ironman’ yang berlesen.

Sementara itu, hak eksklusif dan harga lesen jenama pertandingan yang mahal dari Amerika Syarikat tersebut membuatkan pertandingan Ironman sekitar Asia hanya diadakan di Malaysia, China, Korea Selatan dan Jepun.

Kerana itu juga, ramai peserta dari seluruh dunia yang ‘obses’ mahu memperkuatkan mental dan fizikal masing-masing akan berebut-rebut turun berentap di pertandingan berkenaan.

Bagi Kalam, pertandingan seumpama ini penting disertai oleh bakal-bakal pegawai tentera kendaliannya kerana ia akan mengajar mereka untuk tidak mudah berputus asa.

Katanya ini kerana jika negara berhadapan dengan sebarang ancaman atau perang, para pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus terus-menerus mempertahankan negara.

“Mana boleh perang sekerat jalan. Biar putih mata, perjuangan harus diselesaikan,” jelasnya.

Tiga aktiviti pergerakan fizikal pada jarak yang jauh itu jelas menguji kesabaran dan ketahanan para pesertanya.

Bagi peserta yang tidak tahan atau tidak cukup latihan, mereka mungkin boleh muntah, pitam atau pengsan.

Menurut Kalam, seseorang peserta triatlon yang profesional biasanya mengulangi ketiga-ketiga rutin itu pada jadual latihan masing-masing dalam tempoh sekurang-kurangnya 36 minggu.

Namun kerana kesibukan latihan ketenteraan serta kelas yang perlu dihadiri, para pelajar UPNM ini hanya memulakan sesi latihan bersama sejak tiga bulan lalu.

Bagi latihan berbasikal, para anggota pasukan triathlon UPNM ini biasanya berkayuh dari Kuala Lumpur ke empangan Hulu Langat di Selangor yang mengambil jarak kira-kira 100km sehala.

Sementara itu, Kalam sengaja memilih Bukit Besi yang terletak di dalam premis UPNM bagi latihan larian mereka agar kepayahan `mendaki’ bukit itu dapat menguatkan kaki ahli pasukan.

Latihan berenang pasukan ini pula hanya dilakukan di kolam renang UPNM tetapi pada pertandingan nanti, para peserta sebenarnya akan mengharungi laut.

Sementara itu Kalam yakin sungguhpun sukan ini masih kurang popular di kalangan masyarakat di sini, ia semakin hari kian mendapat sambutan.

Mungkin kerana populariti yang kurang juga menyebabkan sukan ini dipandang sepi serta tidak mendapat ‘kepercayaan’ para penganjur dan peserta.

Namun Kalam yakin dengan dedikasi dan sokongan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, sukan ini semakin mendapat perhatian.

Di peringkat UPNM pula katanya, Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Wira Ir. Ismail Samion sering memberi galakan serta kerjasama daripada segi sokongan moral dan kewangan.

Beberapa anggota pasukan UPNM yang ditemui ketika sesi latihan berasa yakin dan teruja untuk ke Langkawi bagi menyertai Ironman.

“UPNM bernasib baik kerana mempunyai Naib Canselor yang sungguh ‘sporting’ dan yakin dengan kebolehan anak-anak buahnya,’’ jelas Kalam.

Bagi Pegawai Kadet Kanan, Mohd. Salman Alias, 21, tahun ini beliau berazam untuk memperbaiki catatan masanya di Ironman Langkawi tahun lepas iaitu 13 jam 28 minit.

“Mungkin tahun ini saya mampu mencatatkan masa di bawah 12 jam,’’ ujarnya yakin.

Beliau yang merupakan ahli pasukan paling senior kini berada dalam tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal.

Dalam pada itu, ahli pasukan paling muda, Pegawai Kadet Chan Jun Shen, 18 pula, menganggap penyertaan sulungnya tahun ini di Ironman Langkawi bakal mengajarnya banyak perkara.

“Saya mahu bersaing dengan orang yang lebih berpengalaman agar mampu mencatatkan masa lebih baik pada masa akan datang,’’ jelasnya.

Acara kegemaran Jun Shen adalah berbasikal kerana dalam pertandingan tersebut, disiplin itu mengambil jarak yang paling jauh berbanding dua yang lain.

Daripada keseluruhan 20 ahli Kelab Triatlon UPNM, hanya enam orang yang turun berlatih tempoh hari termasuk Mohd. Salman dan Jun Shen kerana yang lain terpaksa menghadiri kelas dan melakukan aktiviti ketenteraan.

Empat yang lain ialah Pegawai Kadet Mohd. Salman Alias, 20, Pegawai Kadet Mohd. Saiful Ahmad, 20, Pegawai Kadet Mohd. Hamdi Hamdan, 18 dan Pegawai Kadet Ahmad Syazwan Rusli, 18.

Kesemua mereka bercita-cita mahu mengharumkan nama UPNM di arena antarabangsa tersebut menerusi kategori umur 18-25 tahun namun tidak semua akan terpilih.

Bagi Kalam, sungguhpun pasukannya mempunyai ramai atlet berpotensi dalam acara itu, pihaknya tidak mampu membawa bilangan peserta yang terlalu ramai kerana kesulitan kewangan.

“Insya Allah jika kami mempunyai kewangan mencukupi pada masa hadapan, anda akan lihat tim Ironman Langkawi UPNM 2009 akan menjadi semakin besar,’’ katanya.

~ by missjewelz on March 7, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: