Daniel, Cai Lin atlit Olimpian ’07

Berita Harian Online>5/2/2008

Oleh Harris Rajahdin


BANGGA: Najib (empat dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Daniel (tiga dari kiri) dan Cai Lin. Turut sama Azalina (kanan), Tunku Imran (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan F&N Coca Cola (M) Sdn Bhd, James Teo pada Majlis Anugerah Olimpian 2007 di Wisma OCM, malam tadi.

Dua perenang terpilih berdasarkan keupayaan raih dua emas di Korat, layak ke Beijing

SAMBUTAN Tahun Baru Cina yang menjelang tiba ini cukup bermakna buat dua perenang – Daniel Bego dan Khoo Cai Lin yang dinobatkan selaku pemenang anugerah Olimpian Tahunan 2007 dalam majlis gilang-gemilang di Wisma OCM, malam tadi.

Kejayaan mereka berdua menandakan buat julung kalinya malam anugerah ini disapu bersih calon dari acara perenang negara sejak ia diperkenalkan pada 1993. Mereka mengikut jejak langkah Alex Lim Keng Liat (1998) dan Elvin Chia (1999).
Daniel, 18 dan Cai Lin, 19 dipilih oleh Lembaga Eksekutif MOM untuk anugerah Olimpian Lelaki dan Wanita berdasarkan kejayaan mereka meraih dua pingat emas dalam Sukan Sea Korat XXIV di samping melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik, Ogos ini.

Anugerah dan hadiah RM10,000 disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan. Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar.

Emas Daniel hadir menerusi acara 100 meter kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas. Dalam kedua-dua acara, perenang kelahiran Sarawak itu memecahkan rekod 100m kuak kupu-kupu dengan catatan 54.33 saat manakala rekod lama satu minit 52.47 saat dalam 200m gaya bebas dipadamkan dengan satu minit 52.22 saat.

Daniel mengenepikan pencalonan pemenang empat emas, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil (Olimpian 2001), penerjun, Yeoh Ken Nee, Lim Yoke Wai (karate) dan pemanah Cheng Chu Sian yang juga sudah melayakkan diri ke Olimpik.

“Ini satu penghormatan yang amat bererti bagi diri saya. Sebenarnya saya tidak menjangka akan menang anugerah ini kerana menyedari ada calon lain yang hebat juga. Ini menyuntik satu inspirasi baru kepada saya bagi tahun ini, khasnya untuk Sukan Olimpik nanti,” katanya.

Cai Lin pula dipilih atas kejayaannya meraih emas dalam 400m gaya bebas dan 800m gaya bebas. Dalam 400m, gaya bebas, Cai Lin mencipta rekod baru 4:18.20s memadamkan catatan lama, 4:19.13s.

Aksinya dalam 800m gaya bebas lebih menakjubkan apabila memadamkan rekod kebangsaan 8:56.88 Nurul Huda Abdullah yang bertahan sejak 1988 dengan catatan baru 8:47.80.

“Saya gembira terpilih bagi anugerah ini. Sebelum ini saya sudah menjangka saingan tinggi daripada calon lain. Saya mahu menjadikan kejayaan ini sebagai satu motivasi bagi mencipta keputusan lebih baik sepanjang tahun ini,” kata perenang kelahiran Selangor itu yang akan mengiringi Daniel ke Beijing 2008.

Secara sebulat suara, Lembaga Eksekutif MOM memilih Cai Lin di atas dua pencalonan lain, penerjun, Leong Mun Yee (Olimpian 2001) dan atlit gimnas empat emas, Chrystal Lim Wen Chean.

Tahun ini juga menyaksikan ia dilangsungkan dua kali dalam tempoh setahun dengan satu lagi malam anugerah akan diadakan selepas berakhirnya temasya Olimpik. Malam anugerah 2007 terpaksa ditangguhkan sehingga tahun ini berikutan Sukan Sea Korat XXIV yang dilangsungkan pada Disember lalu.

Pada majlis itu juga seramai 10 tokoh sukan dari kalangan pegawai dan bekas atlit diraihkan dalam Dewan Kemasyhuran.

~ by missjewelz on February 8, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: