Tonton juara keseluruhan

ANTARA pelumba JM 2008 yang menyertai kriterium Dataran Merdeka melengkapkan pusingan terakhir di ibu kota Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Perlumbaan Jelajah Malaysia 2008 hari ini berakhir dengan menyaksikan pelumba dari pasukan LeTua, Tonton Susanto muncul juara keseluruhan buat pertama kali meninggalkan Ghader Mizbani dan Frederick Johansson di tempat kedua serta ketiga semalam.

Pelumba yang berasal dari Bandung, Indonesia itu mengharumkan pasukan benua tempatan dengan perlumbaan yang baik pada peringkat keempat dan keenam apabila mendapat tempat ketiga di peringkat tersebut dan seterusnya berjaya mencatat masa keseluruhan 21 jam 32 minit 38 saat meninggalkan Ghader (Tabriz Petrochemical) yang mencatat masa 21 jam 32 minit 49 saat.

Tonton yang berjaya mengekalkan jersi merah yang dimenangi pada peringkat keenam kelmarin menyifatkan kejuaraan yang dimenanginya adalah hasil usaha bersama rakan sepasukan yang lain.

‘‘Saya begitu gembira sekali kerana muncul juara keseluruhan pada perlumbaan kali ini dan terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu saya dalam setiap peringkat perlumbaan,’’ katanya dalam sidang media semalam.

Pelumba berusia 35 tahun itu juga menyatakan hasrat untuk kekal bersama pasukan LeTua dan cuba untuk memperbaiki kedudukan dalam perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTdL) yang bakal berlangsung bulan depan.

‘‘Sasaran saya pada perlumbaan Le Tour De Langkawi ialah dapat memperbaiki kedudukan sebelum saya mengundur diri dari sukan lumba basikal.

Sementara itu dalam peringkat terakhir iaitu perlumbaan kriterium yang membabitkan 18 pusingan dimenangi oleh pelumba dari pasukan Skil Shimano, Yusuke Hatanaka manakala Hossein Nateghi dari Tabriz Petrochemical di tempat kedua dan pelumba Polygon Sweet Nice, Hari Fitriyanto di tempat ketiga.

Perlumbaan kriterium yang berlangsung semalam hampir dibatalkan akibat hujan lebat sebelum perlumbaan bermula tetapi selepas mendapat persetujuan daripada pelumba dan semua pengurus pasukan, perlumbaan peringkat terakhir itu diteruskan atas dasar semangat kesukanan.

Turut hadir pada perlumbaan peringkat terakhir hari ini ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan.

Seorang lagi pelumba LeTua, Anuar Manan mempertahankan jersi biru yang dimenanginya pada tahun lepas dengan mengumpul 29 mata untuk kategori raja pecut.

“Saya yakin untuk memenangi kategori pecut pada JM 2008 ini apabila penganjur perlumbaan berkata mata pecutan tidak dikira pada hari ini,” katanya.

‘‘Malah, saya turut lega kerana zon pecut dalam perlumbaan kriterium tidak dicampur dan ini membuatkan jersi biru kekal milik saya,’’ katanya.

Bagi kategori raja bukit pula, pelumba dari Iran yang mewakili pasukan Tabriz Pertochemical, Hossein Askari unggul dengan 16 mata menewaskan pencabar terdekat Tonton selain David McCann yang mewakili pasukan Giant Asia.

Manakala, pelumba Kuala Lumpur, Suhardi Hassan berjaya mempertahankan jersi putih kategori pelumba terbaik tempatan dengan mencatat masa 21 jam 39 minit meninggalkan pesaing dari pasukan kebangsaan Fauzan Ahmad Lutfi di tempat kedua manakala Loh Sea Keong dari Marco Polo berpuas hati di tempat ketiga.

Suhardi berkata, selepas kejohanan JM 2008 ini dia akan pulang semula ke pangkuan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan LTdL bulan depan.

Bagi kategori pasukan terbaik secara keseluruhan dimenangi oleh pasukan Tabriz Petrochemical diikuti pasukan kebangsaan Jepun dan tempat ketiga pasukan LeTua yang juga dinobatkan sebagai pasukan terbaik tempatan.

~ by missjewelz on January 14, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: