Anuar kembali gah takluk laluan Gemas-Karak


GAGAH: Anuar Manan mendepang tangan sebaik tiba di garisan penamat peringkat kelima dari Gemas ke Karak sejauh 133.7km pada saingan Jelajah Malaysia, semalam.

SELEPAS menyepi pada peringkat keempat, kelmarin, Anuar Manan kembali mengungguli Jelajah Malaysia 2008 apabila gah membuat kayuhan padu untuk meraih kemenangan peringkat kelima, Gemas ke Karak, semalam.

Laluan dari Jalan Segamat, Gemas ke Dataran Niaga Karak, Pahang berjarak 133.7 kilometer itu kembali melihat penguasaan pelumba LeTua berusia 21 tahun bagi membutirkan tiga kemenangan peringkat dalam JM 2008 setakat ini.

“Hari ini, cita-cita saya untuk merangkul tiga kemenangan peringkat akhirnya tercapai. Pasukan saya bekerja keras daripada awal. Laluan landai jelas memberi kelebihan buat saya,” kata Anuar yang menamatkan perlumbaan itu dalam tempoh tiga jam 54 saat.

 

Kejayaan itu sekaligus memperbaiki pencapaian pada JM 2007 apabila meraih dua kemenangan peringkat daripada jumlah tujuh. Terdahulu, dia menjuarai peringkat ketiga Kuala Terengganu ke Kota Bharu dan peringkat keenam Ipoh ke Kuala Kubu Baru.

Anuar juga kekal mengungguli jersi biru pecut selepas memenangi zon pecut pertama, Pasir Besar (10.8 km) dan kedua di Bahau (35.9 km). Satu lagi zon pecut di Mancis (96.5 km) dimenangi pelumba Jepun, Tsuji Yoshimitsu yang mewakili Trek Marco Polo.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu mendahului saingan dengan 29 mata diikuti Suhardi Hassan dengan 15 mata. Makoto Iijima dari pasukan Jepun di tempat ketiga dengan 13 mata.

Suhardi yang menyarung jersi Kuala Lumpur akan terus menyarung jersi putih pelumba terbaik tempatan di badannya selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-32.

Pemegang jersi merah pendahulu keseluruhan, kelmarin, Tonton Susanto, 34 yang mewakili LeTua berada pada puncak prestasi tertinggi apabila kekal mendahului selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-37.

Usaha pelumba Indonesia itu disukarkan oleh kemalangan pada satu kilometer menjelang penamat pada laluan berliku dan ada kalanya berlopak di kawasan berlubang.

“Terdapat insiden kecil pada 1 km (sebelum tamat) tetapi ia tidak begitu teruk,” katanya mengenai kemalangan yang membabitkan enam pelumba itu.

Dengan laluan Kuala Kubu Baru ke Genting dilihat, hari ini sebagai penentuan untuk jersi merah (juara keseluruhan) dan jersi polka dot (raja bukit), tiba giliran pelumba nombor satu Jelajah Asia, Hossein Askari dapat menunjukkan taring selepas tidak dikerah pada peringkat kedua sehingga peringkat kelima.

“Esok (hari ini) kami berkayuh untuk segala-galanya. Juara keseluruhan, ‘king of mountain’. Ia adalah hari penting buat kami,” kata Askari yang mendahului sejak peringkat pertama Putrajaya ke Port Dickson yang menampilkan empat zon bukit.

Askari, 32, yang berkayuh buat kelab negara kelahirannya, Iran, Tabriz Petrochemical kekal menyarung jersi polka dot dari peringkat pertama sehingga sekarang dan berdepan cabaran daripada penyandang jersi merah, Tonton dalam pendakian kategori satu Genting dengan puncak ketinggian 920.8km.

Hanya terdapat satu zon bukit (KOM), semalam, kategori empat di Mancis (106.7 km) yang dimenangi Ali Sahbana Agung dari pasukan kebangsaan Indonesia.

~ by missjewelz on January 12, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: