Takraw, silat kena menghadap

Berita Harian, 20/12/2007

MOM mahu penjelasan kenapa PSM tarik diri; Pesaka kena jelas gagal raih emas

DUA persatuan sukan kebangsaan – sepak takraw dan silat – akan ‘dipanggil’ menghadap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ekoran episod duka yang membelenggu kedua-duanya ketika temasya Sukan Sea di Korat, baru lalu.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dipanggil selepas tindakan badan induk itu menarik diri atas alasan membantah keputusan penganjur menggunakan bola baru, Marathon Gen II, pada temasya serantau itu.

Prestasi hambar barisan pesilat negara – yang langsung pulang kempunan tanpa kilauan emas selepas menggegar pada kejohanan dunia beberapa minggu sebelumnya – difahamkan punca Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka) dipanggil.

Namun, sebelum niat disalah ertikan, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata panggilan itu lebih kerana MOM mahu ‘mengetahui puncanya secara lebih mendalam.’

“Keputusan untuk meminta presiden kedua-dua persatuan itu hadir bertemu Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, diputuskan ketika mesyuarat Lembaga MOM, semalam (kelmarin).

“Ia adalah bertujuan memastikan MOM dapat mengetahui secara mendalam punca di sebalik apa yang berlaku. Ia tidak berniat untuk menghukum sesiapa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Daripada satu sudut, MOM mungkin perlu menjadikan pertemuan itu sebagai medan untuk ‘menyedarkan’ PSM terhadap erti patriotisme terhadap negara, bukannya menjadikan isu bola baru alasan mengambil tindakan drastik sebegitu.

Langkah penarikan diri PSM, diterajui presidennya, Datuk Ahmad Ismail, sebelumnya bingkas mengundang kecaman pelbagai pihak – termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman.

Pertemuan dengan Pesaka pula dilihat sebagai usaha MOM cuba memahami ‘politik dalaman’ sukan itu ekoran rasa tidak percaya apabila tujuh pesilat negara yang meraih emas ketika Kejohanan Silat Sedunia, semuanya gagal mengulangi pencapaian sama di Korat.

Dalam perkembangan berbeza, Kok Chi berkata MOM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar, yang akan menamatkan tempoh jawatannya, 31 Disember ini.

Azalina sebelumnya mengumumkan bahawa kontrak Elyas tidak akan disambung ketika pencarian calon lebih berkemampuan dan agresif dimulakan untuk mengisi jawatan itu. Ketika ini, nama bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, disebut-sebut selaku calon paling sesuai.

“MOM menghargai apa yang sudah dilakukan oleh Elyas sepanjang tempohnya selaku Pesuruhjaya Sukan,” katanya

~ by missjewelz on December 19, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: