Penyertaan sukan subjektif di luar negara dikaji – MSN

Utusan Malaysia Online, 20/12/2007

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula kewajaran menghantar sukan subjektif tertentu bertanding di peringkat antarabangsa ekoran mutu pengadilan yang tidak ‘adil’ daripada pengalaman di Sukan SEA Korat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong berkata, pengalaman di Korat baru-baru ini jelas menunjukkan mutu pengadilan dalam sukan subjektif banyak menyebelahi tuan rumah.

‘‘Perkara ini perlu dikaji semula kerana jika perkara pengadilan seumpama itu terus berlangsung, ia membazirkan wang, masa dan tenaga atlet serta pihak pengurusan negara,’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sebagai contoh, pencak silat muncul acara yang mencatat pencapaian paling mengecewakan tanpa sebarang pingat emas.

Sepuluh tahun lalu di Indonesia silat juga mengalami kekecewaan yang serupa.

Pencapaian satu perak dan enam gangsa oleh pesilat negara menafikan sasaran tiga emas yang ditetapkan MSN dalam acara itu di Korat.

Zolkples menegaskan, jika perkara tersebut terus dibiarkan, fenomena itu boleh membunuh harapan tinggi atlet negara untuk memungut sebarang pingat setelah penat berlatih.

‘‘Atlet sukan subjektif telah berlatih dengan bersungguh-sungguh sebelum pertandingan bermula dan mereka seperti teraniaya dengan mutu pengadilan yang berat sebelah yang diamalkan,’’ ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ramai atlet kita yang menjadi mangsa ekoran tindakan dan mutu pengadilan yang buruk.

Sebagai contoh, katanya, negara berjaya melahirkan tujuh pesilat yang muncul juara dunia pada kejohanan yang diadakan di Kuantan sebelum Sukan SEA bermula, tetapi tiada seorang pun daripada mereka berjaya memperoleh emas di Korat.

Zolkples berkata, perkara seumpama itu mesti difikirkan secara mendalam dan perlu ada kewajaran apabila menghantar atlet untuk sukan tersebut pada masa akan datang.

Beliau berkata, jika Thailand sebelum ini menuduh Filipina melaksanakan taktik kotor pengadilan berat sebelah sebelum ini di Manila, Thailand perlu memikirkannya semula perkara tersebut.

Katanya, jelas sekali mutu pengadilan sukan subjektif yang dipamerkan pada Sukan SEA baru-baru ini amat berat sebelah.

‘‘Ini sesuatu yang amat mendukacitakan dan boleh menjejaskan prestij temasya sukan tersebut yang menjadi landasan untuk negara-negara di rantau ini untuk bertanding secara sihat,’’ tambah beliau.

Pada Sukan SEA di Korat, Malaysia mencatat pencapaian terbaik apabila memungut sebanyak 68 pingat emas, 52 perak, 96 gangsa.

Kutipan pingat itu telah meletakkan negara di tempat kedua keseluruhan dan ia merupakan pencapaian terbaik kontinjen Malaysia dalam sejarah Sukan SEA yang dipertandingkan di luar negara.

~ by missjewelz on December 19, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: