Tindakan tegas jika LTdL’08 gagal

Utusan Malaysia, 18/12/2007

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membayangkan akan mengambil keputusan dan tindakan tegas jika penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 9 hingga 17 Februari tahun depan gagal mencapai matlamat asalnya.

‘‘Matlamat penganjuran LTdL yang telah memasuki edisi ke-13 tahun depan bagi membantu perkembangan sukan berbasikal di negara kita dan pada masa yang sama ia dapat memberikan impak yang positif dari aspek perlancongan,’’ kata menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said di sini, semalam.

Azalina berkata, LTdL’08 akan menjadi kayu pengukur sama ada kejohanan yang berstatus 2.0 itu berjaya mencapai matlamat atau sebaliknya.

‘‘Kita mungkin terpaksa mengambil keputusan yang tidak disenangi oleh semua pihak kerana KBS memperuntukkan hampir RM25 juta (jumlah maksimum bagi penganjuran LTdL’08) untuk kejohanan itu,’’ katanya.

Kenyataan tegas Azalina itu menyusul setelah kontroversi yang melanda penganjuran LTdL membabitkan kos penganjuran dan bebanan hutang yang tinggi pada edisi-edisi lepas.

Malahan, pada September lepas, Azalina mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa penganjuran yang diketuai oleh Pengerusi Panel Penasihat Sukan (SAP), Datuk Nik Mahmud Nik Yusoff dan Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PBKM), Datuk Naim Mohamad sebagai Ketua Pegawai Operasi bagi melicinkan penganjuran kejohanan itu.

Terdahulu, Azalina melancarkan laluan LTdL’08 yang akan dilalui oleh 25 pasukan bertanding membabitkan jarak sejauh 1,381.5 kilometer dengan sembilan peringkat perlumbaan.

Berbeza dengan tahun ini yang bermula di Pulau Langkawi, peringkat pertama kejohanan tahun depan akan bermula di Alor Star, Kedah (9 Februari) dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (17 Februari) yang membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengenai pencapaian atlet kebangsaan di Sukan SEA Ke-24 di Korat, Thailand yang berakhir Sabtu lepas, Azalina berkata kontinjen negara mungkin boleh mencapai lebih jika mutu pengadilan tidak berat sebelah.

‘‘Kita kehilangan beberapa pingat dalam beberapa cara subjektif seperti gimnastik kerana pengadil kebanyakan daripada tuan rumah (Thailand),’’katanya.

Kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 64 emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan mengutip 68 emas dan berada di tempat kedua keseluruhan di belakang Thailand pada temasya dwitahunan itu.

– Bernama

                                                 

Azalina Othman Said melancarkan laluan LTdL 2008 di Putrajaya, semalam.


~ by missjewelz on December 18, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: