Sasaran KOAM terbantut

Berita Harian

PUAS: Hup Wei mengibar Jalur Gemilang selepas menang acara lompat tinggi, semalam.

SELEPAS dua tahun dan satu Sukan Sea berlalu, Malaysia kembali bertakhta selaku raja lompat tinggi apabila Lee Hup Wei merampas semula emas dengan ketinggian 2.19 meter pada ketika Roslinda Samsu mengesahkan statusnya selaku atlit lompat bergalah wanita nombor satu Asia Tenggara.

Di sebalik kejayaan itu, skuad olahraga negara bagaimanapun gagal mencapai sasaran 10 emas yang diletakkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) apabila sekadar membawa pulang tujuh emas – pengutan terburuknya sejak Singapura 1983.

 

Pada hari terakhir semalam, skuad negara meramalkan mampu meraih sekurang-kurang lima emas tetapi kekalahan juara bertahan lompat kijang wanita Ngew Sin Mei, M Vadivellan (l,500m), dan Mohd Zaiful Zainal Abidin (400m) melenyapkan segala impian.

Apapun, penghargaan harus diberikan kepada Hup Wei yang berjaya melenyapkan keraguan mengenai kekuatan mentalnya apabila memastikan emas kembali kepada Malaysia selepas gagal mempertahankannya di Manila 2005. Malaysia sebelum ini memenangi emas Sukan Sea berturutan sejak 1977 di Kuala Lumpur.

“Saya lega kerana berjaya memberikan kembali emas lompat tinggi yang kita hilang pada temasya lalu,” katanya. “Memang saya berasa gementar dan tertekan sepanjang saingan tetapi saya dapat mengawal diri dan menumpukan untuk melepasi palang, bukannya pencapaian peserta lain,” katanya yang menduduki tempat kelima di Manila dua tahun lalu.

Hup Wei melepasi 2.19m pada percubaan terakhirnya untuk menewaskan juara bertahan Nguyen Duy Bang dari Vietnam yang mencatatkan ketinggian 2.17m manakala seorang lagi peserta negara, Ahmad Najwan Aqra meraih gangsa dengan ketinggian 2.15m.

Bagi Roslinda, ketinggian 4.00m sudah cukup memastikan kemenangan emas dengan tempat kedua dimenangi Deborah Samson dari Filipina dengan catatan 3.90m dan gangsa diraih juara 2001 dari Indonesia, Ni Putu Desy Margawati yang melepasi 3.80m.

“Saya tidak puas hati dengan catatan walaupun saya bersyukur dengan pingat emas,” katanya yang gagal dalam ketiga-tiga percubaan pada ketinggian 4.15 meter. “Hari ini prestasi saya tidak berapa bagus kerana ketika berlari untuk melakukan percubaan, kaki saya terasa kejang.

“Sebab itu saya gagal dalam percubaan pertama pada ketinggian 4.00m tetapi selepas itu saya kuatkan semangat dan berjaya melepasinya pada percubaan kedua. Cuma saya terkilan gagal dalam hasrat saya untuk melepasi kelayakan Olimpik kategori A iaitu 4.45m,” katanya yang mempunyai catatan peribadi terbaik 4.40m.

Bagi Sin Mei, sekalipun berjaya mencatatkan rekod kebangsaan dengan kelebihan 0.01 meter iaitu 13.75 meter, ia belum mencukupi untuk kemenangan emas apabila dikejutkan atlit Thailand, Thitima Muangjan yang melakukan 13.85m untuk rekod baru Sukan Sea, pada lompatan terakhirnya.

“Saya kecewa gagal mempertahankan emas sekalipun saya berjaya mencatatkan rekod baru kebangsaan tetapi saya sudah memberikan yang terbaik,” katanya.

Turut mencatatkan rekod baru kebangsaan ialah Vadivellen dalam 1,500m dengan masa 3:45.70s – catatan lama 3:45.8s – tetapi hanya bagus untuk perak dengan emas menjadi milik Nguyen Dinh Houng dengan catatan rekod baru kejohanan 3:45.31s.

Malaysia turut memenangi satu gangsa melalui Zaiful dalam 400m apabila dia mencatatkan 46.75s, catatan peribadi terbaiknya musim ini dengan emas dimenangi Julius Felicismo Jr dari Filipina (46.56s).

~ by missjewelz on December 18, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: