Jumpa di Laos 2009

Utusan Malaysia -16/12/2007

KORAT – Sukan SEA edisi ke-24 ditutup dengan rasminya di sini, semalam dengan Malaysia mencipta kejayaan paling cemerlang dalam sejarah temasya di luar Kuala Lumpur apabila mengutip keseluruhan 68 pingat emas untuk menduduki tempat kedua di belakang tuan rumah, Thailand.

Sebaik majlis penutupan rasmi sempurna dilakukan Perdana Menteri Thailand, Jeneral (B) Surayud Chulanont diikuti obor temasya dipadamkan, barisan atlet dan pegawai kontinjen negara bersorak kegembiraan bagi meraikan kejayaan mengatasi sasaran 64 emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini.

Walaupun tidak muncul juara keseluruhan di sini, ini adalah pencapaian terbaik kontinjen Sukan SEA sebagai bukan negara tuan rumah dengan mengatasi rekod pungutan tertinggi 61 emas yang pernah dilakukan pada temasya dua tahun lalu di Filipina.

Jumlah 68 emas itu bagaimanapun masih tidak dapat mengatasi pencapaian terbaik 111 emas yang pernah dimenangi Malaysia ketika menjadi tuan rumah temasya edisi ke-21 di Kuala Lumpur pada tahun 2001.

Thailand seperti dijangka menggunakan kelebihan selaku tuan rumah untuk muncul juara keseluruhan dengan 183 emas, 123 perak dan 102 gangsa diikuti Malaysia, Vietnam, Indonesia, Singapura, Filipina, Myanmar, Laos, Kemboja dan Brunei.

Hanya Timor Leste muncul negara yang tidak memenangi sebarang pingat walaupun Thailand sibuk mengadakan pilihan raya pada 23 Disember ini.

Seperti Malaysia, Thailand juga mempunyai sebab lebih meriah untuk meraikan kejayaan mereka muncul juara keseluruhan kerana ia dianggap sebagai hadiah istimewa kepada raja mereka, Raja Bhumibol Adulyadej yang menyambut ulang tahun keputeraannya yang ke-80, sehari sebelum temasya ini dirasmikan pada 6 Disember lalu.

Selain itu negara Gajah Putih ini turut meraikan kejayaan mereka menjuarai “ibu kepada segala acara” iaitu bola sepak dengan menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir, kelmarin.

Lebih membanggakan apabila perenang Thailand Nantahanan Junkrajang dipilih sebagai atlet wanita terbaik manakala perenang Filipina, Miguel Molina dipilih sebagai atlet lelaki terbaik, semalam apabila meraih empat emas.

Namun di sebalik kejayaan dan kemeriahan itu, temasya kali ini turut tidak sunyi daripada kontroversi terutama yang membabitkan mutu pengadilan yang rendah dan berat sebelah.

Insiden membaling kerusi ke dalam gelanggang, pemilihan juri yang meragukan, peralatan papan markah yang tidak mengikut spesifikasi badan sukan dunia, tindakan enam petinju Filipina memulaukan perlawanan akhir serta tindakan menteri sukan Indonesia sendiri turun padang melakukan bantahan membayangi ketelusan temasya ini.

~ by missjewelz on December 17, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: