Alasan PSM ternyata tidak membawa kebenaran

Utusan Malaysia,17/12/2007

KORAT – Sebelum acara sepak takraw Sukan SEA ke-24 bermula, banyak pihak terutama di Malaysia ingin melihat sama ada penggunaan bola baru bersalut getah iaitu Marathon Gen-II, pada temasya itu membahayakan pemain atau sebaliknya.

Tumpuan itu sudah tentu disebabkan dakwaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bahawa bola baru tersebut tidak sesuai kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain, sehingga menyebabkan Malaysia, buat pertama kalinya tidak menghantar pasukan ke temasya dwitahunan itu di sini.

Bagaimanapun selepas 11 hari acara itu dipertandingkan pada temasya kali ini di The Mall Nakhon Ratchasima yang berakhir semalam, tiada bukti atau laporan bahawa para pemain cedera disebabkan bola baru tersebut.

Maka, alasan yang diberikan oleh PSM menarik diri daripada temasya itu, sebenarnya tidak munasabah kerana setiap pasukan yang bertanding menggunakan bola yang sama dan tiada sesiapa yang cedera.

Malah, rata-rata pasukan yang bertanding di Korat berpendapat bola itu sesuai dan ia terbukti tidak membahayakan para pemain termasuk kepada pemain wanita.

Penolong jurulatih Indonesia, Mustakim berkata sepanjang kejohanan itu, tiada pemainnya yang cedera disebabkan penggunaan bola baru tersebut.

Malah, secara peribadi beliau berpendapat bahawa bola tersebut sesuai digunakan kerana ia lebih lembut berbanding bola lama selain tidak membahayakan keselamatan pemain.

“Kita hanya berlatih tiga bulan menggunakan bola baru ini sebelum datang ke sini tetapi pemain-pemain tidak mengadu bahawa mereka cedera disebabkan penggunaan bola baru tersebut,” katanya.

Nada yang sama turut disuarakan jurulatih wanita pasukan Filipina, Camilo Adpon bahawa tidak banyak bezanya antara bola baru tersebut dengan bola lama.

“Kesemua pemain menggunakan bola dengan kualiti yang sama. Mereka gembira menggunakan bola baru ini dan di sepanjang kejohanan, tiada pemain kami mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Bagi jurulatih Vietnam, Tung Lap Ha yang turut setuju dengan pendapat tersebut, bagaimanapun mempersoalkan tindakan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yang terburu-buru mahukan bola baru itu digunakan pada temasya kali ini.

Tanpa mahu mempersoalkan mengenai bola baru itu, beliau berkata pasukannya hanya sempat berlatih kira-kira tiga bulan menggunakan bola baru, dan tempoh itu disifatkannya tidak mencukupi bagi membiasakan pemainnya dengan bola tersebut.

– Bernama

~ by missjewelz on December 17, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: