68 emas atasi sasaran peribadi

Utusan Malaysia, 16/12/2007

KORAT – Ketua Kontinjen negara, Datuk Zainal Abidin Ahmad merumuskan pungutan 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa oleh anak buahnya sebagai telah mengatasi sasaran peribadi, 66 emas sepanjang Sukan SEA ke-24 di Korat yang turut dipengaruhi mutu pengadilan yang kurang beretika.

Dia turut menyifatkan renang, karate, bola keranjang dan ekuestrian sebagai antara sukan yang paling menonjol dan mempengaruhi catatan terbaik emas Malaysia dalam sejarah temasya dwi tahunan di luar negara itu.

“Skuad bola keranjang wanita yang mempertahankan emas dari Vietnam 2003 (tidak dipertandingkan di Filipina 2005) khususnya memiliki kekuatan mental dan disiplin bermain yang bermutu tinggi kerana mampu menang dengan lontaran jauh pada saat terakhir.

“Begitu juga renang dan karate tetapi yang kurang menyerlah ialah menembak dan pencak silat yang mungkin seperti kehilangan semangat kerana pergolakan dalaman persatuannya manakala terjun agak sederhana,” katanya di Stadium Tertutup Ulang Tahun Keputeraan Raja Thailand di sini, semalam.

Zainal yang turut sempat menyaksikan acara sepak takraw di Dewan MCC, The Mall yang ketiadaan pasukan negara kerana menarik diri, beranggapan bahawa pertandingan itu berjalan lancar walaupun menggunakan bola baru bersalut getah Marathon New Generation yang dibantah oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

“Tiada pula saya lihat ada pemain atau pasukan yang mengadu mengalami masalah dengan bola itu mahupun tercedera kepala atau anggota badan lain. Semuanya okey,” katanya yang agak menyepi walaupun kontinjen negara mula menunjukkan peningkatan dalam pungutan emas sejak Selasa lalu hingga hari terakhir semalam.

Katanya, suasana pertandingan dan kemeriahan serta proses perjalanan temasya ke-24 di Korat lebih menonjol dari di Pattaya dan Bangkok – dua lagi gelanggang bagi hampir 15 jenis sukan lain daripada 43 yang dipertandingkan kesemuanya.

“Ada baik dan buruknya apabila suasana seperti itu tiada di Bangkok. Sebagai contoh, boling padang kita menyerlah di sana kerana bermain tanpa tekanan dan tumpuan ramai tetapi menembak tersasar mungkin sebab terlalu awal bertanding sehingga terasa seperti bukan sebahagian Sukan SEA,” katanya.

Zainal turut menarik perhatian terhadap mutu pengadilan sukan subjektif seperti gimnastik, terjun dan sukan tempur terutamanya tinju yang meneruskan tradisi berat sebelah kepada tuan rumah.

“Saya dapati pengadilan di sini kurang beretika dan jauh daripada semangat kesukanan sebenar,” katanya.

– Mingguan

~ by missjewelz on December 17, 2007.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: