Hafiz buat tindakan tepat – Rashid
KUALA LUMPUR – Keputusan Muhammad Hafiz Hashim untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin mengejutkan banyak pihak tetapi tidak buat ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Rashid Sidek.
Rashid percaya, juara All England 2003 itu membuat keputusan yang tepat apabila mencari jalan keluar untuk menyelamatkan karier badmintonnya, malah beliau berkata, tindakan Hafiz yang berani dan yakin dengan apa yang dimahukan harus dipuji.
Beliau turut memuji sikap pemain itu kerana berani mengakui kelemahan dan berusaha untuk memperbaikinya, sambil menyifatkan Hafiz hanya segelintir daripada pemain yang mempunyai keberanian untuk mengambil keputusan yang dianggap sebagai berisiko.
“Saya tidak terkejut dengan apa yang diumumkan Hafiz, pada saya dia membuat satu keputusan tepat, malah mempunyai keberanian untuk mengakui kelemahan. Tidak ramai pemain berani mengambil tindakan sepertinya.
“Ada pemain dia tahu dia sudah tidak berkemampuan tetapi masih mahu berada di BAM kerana hendak menikmati faedah yang ada.
“Bagus juga dia ada kesedaran untuk memperbaiki kelemahan. Dia kini tidak berada pada tahap yang bagus dan mungkin dengan bermain di luar akan membantunya menangani masalah kemerosotan prestasi yang dialami sejak beberapa tahun lalu,” kata Rashid.
