Lalas dipecat, Gullit tinggalkan Galaxy
Utusan Online > 13/08/2008 <!–
–>
Lalas dipecat, Gullit tinggalkan Galaxy
CARSON, California – Tanpa mencapai sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut telah mendesak pasukan Liga Bola Sepak Utama (MLS), Los Angeles Galaxy memecat pengurus besar pasukan itu, Alexi Lalas dan menerima perletakan jawatan jurulatih, Ruud Gullit, kelmarin.
Pasukan yang dibarisi oleh bintang terkemuka, David Beckham hanya merekodkan keputusan 0-4-3 dalam tujuh perlawanan terdahulu, biarpun pada mulanya pasukan itu dijangka memberi persaingan dalam liga tersebut musim ini.
Galaxy berada di kedudukan tempat keempat dalam carta Western Conference dengan rekod 6-8-5.
Tempoh terpanjang tanpa sebarang kemenangan yang dicatatkan oleh Galaxy dalam sejarah bola sepaknya adalah selama 10 perlawanan berturut-turut iaitu pada musim 2006.
Gullit bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perletakan jawatan yang dilakukan olehnya dan hanya menjelaskan bahawa ia adalah melibatkan ‘alasan peribadi’.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan terma-terma yang ditetapkan oleh syarikat.
“Kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara baik itu dan kami sangat menghargai serta menghormati isu yang melibatkan Gullit dengan kelab ini.
“Kami sangat berterima kasih dengan segala kerja keras yang telah diberikan ketika bersama dengan organisasi ini.
“Diharap dia (Gullit) telah meninggalkan asas yang boleh digunakan oleh Los Angeles Galaxy di masa depan,” kata presiden Kumpulan AEG, Tim Leiweke. Kumpulan AEG ialah pemilik kepada pasukan Galaxy.
Tempat yang ditinggalkan oleh Gullit itu akan digantikan oleh jurulatih sementara, Cobi Jones.
Beckham, 33, menjadi pemain yang mendapat bayaran termahal di MLS apabila Galaxy menandatanganinya kontrak dengannya pada tahun lalu.
Namun begitu, kehadiran pemain termahal itu masih tidak dapat diterjemahkan untuk mencipta kemenangan kepada Galaxy.
- AFP

Leave a Reply